Tahun 2 di universiti, aku sudah pandai mengatur masa. seharian yang panjang di kuliah kugagahkan jua dengan berpuasa. tepat 6 petang bersurailah kami dari kampus menuju ke hostel masing-masing. Perlahan aku melangkah ke arah perodua kancil WGB 9273 yang berwarna putih itu. berhabuk, kerana saban hari berulang alik ke kolej 12 UPM yang ketika itu dikelilingi kawasan pembinaan bertanah merah, berhabuk kerana aku juga tidak bisa mencuri masa untuk memberi perhatian kepada sikancil itu. Sambil berjalan, pantas aku mengira-ngira apa yang perlu dilakukan malam ini.
tatkala azan maghrib berkumandang dari surau, aku menggegaskan diri untuk berbuka. ala kadar, nasi putih, seketul bergedil dan sayur berkuah… selera? entahlah.. hati ini terlalu tepu dengan pelbagai persoalan. mataku memandang tudung labuh berwarna ungu yang tersidai di penyangkut baju. hati ku sayu. aku berasa sungguh bersalah. Maghrib petang itu terasa sayu sekali. sesudah maghrib, kuselak helaian Kalamullah satu persatu. ingin sahaja aku habiskan malam ini dengan menatap tulisan-tulisan mulia itu. tapi aku jua tidak mampu kerana tanggungjawab sebagai seorang pelajar memanggil-manggil aku untuk kembali duduk di meja itu, untuk kembali bertafakur menghadap buku-buku perubatan yang tebal itu. bukankah aku telah berjanji pada diriku dan bersetuju menyertai bidang ini atas sebab aku mahu menghadiahi ibu dengan gelaran doktor yang bakal aku perolehi dari ijazah ini? namun hatiku bukan di sini. hatiku di sana. diatas rak buku paling atas, di mana naskah al-Quran itu sering kuletakkan.
Sesudah 2 jam menelaah, mataku menjeling ke arah naskah Al-Quran itu lagi. terasa seolah-olah aku dapat mendengar pekikan Munkar dan Nakir yang tentu akan mempersoalkan perbezaan masa yang ku habiskan untuk menimba ilmu duniawi berbanding mencari redha dari-NYA. dan perasaan bersalah itu pantas datang lagi. tahajjud malam itu aku lantas berdoa,
“Ya Allah, tidaklah aku mencari ilmu dunia ini selain dari mencari redha-Mu jua. Ampunkanlah kelalaian ku ini Ya Allah. Sesungguhnya sekiranya ini bukan yang terbaik untukku, bawalah aku pergi dari pekerjaan ini. Yang aku mahu hanya redha-Mu, yang aku dambakan hanya untuk kembali kepada-Mu dalam keadaan Kau kasih, kau sayang dan kau cinta kepada ku” Ameen…
No comments:
Post a Comment